Ngepeng sikit2

05 March 2011

Hikayat episod 3



Orang Kaya Penjual Mangga mundar-mandir ruang legar banglo mewah miliknya dengan hati berdebar-debar. Biarpun cuaca di luar hujan akan tetapi Penjual Mangga tidak berpakaian. Hanya berlengkap dengan kain tuala sahaja. Dia sendiri kurang faham akan sebab kemurungan yang melanda hati. Sedang dia berlegar-legar, setiap langkah terasa seperti kakinya terjirik kaca. Dicubanya duduk di sofa, punggungnya panas dicucuh berpuluh batang gesek. Dengan setiap nafas yang sampai ke tekaknya terasa kelat. Dia mendengus ganas dan garang. Resah hatinya tidak bersebab. Tidak pernah hayat hidup dirasakan demikian. Bibirnya tidak putus-putus terkumat kamit. Entah apa yang dia tuturkan. Tiada siapa memahami. Sejenak dia berhenti di hadapan sinki, terus dia meludah air liur kelat yang disimpan sejak dari tadi. Diamatinya betul-betul kahak di dalam sinki sebelum dia membuka paip. Sekali lagi dia mendengus garang. Pantas dia melangkah ke balkoni. Kelihatan orang kanan kepercayaannya sedang terbaring enak menikmati cuaca dan hari yang tenang.

"Mat Diba", tegurnya tegas. Pahlawan Diba tersentak dan terus bangkit dari baring enaknya tadi. Sambil membetulkan bojengya, "Ya Orang Kaya, hamba sedang menikmati hari sahaja di sini," jawab Pahlawan Diba. "Hmmm.... enak juga di kala hujan malu-malu begini jika kita melayan hari sahaja. Tapi entah bakpe, hamba berasa kurang selesa." adu Penjual Mangga sambil melabuhkan punggung di sebelah Pahlawan Diba. Pandangannya kosong jauh ke hadapan. Dahinya berkerut seribu. "Hahaha apakah gerangan yang sebegitu bisa, mampu buat pendekar terhebat Tanah Meseng tidak sedap duduk sebegini?" tanya Pahlawan Diba berseloro bodoh. Orang Kaya Penjual Mangga mengusap-mengusap batang tengkuknya sambil mehelakan nafas panjang. "Entahlah Mat Diba, hamba berasa seperti ada suatu yang amat kurang pok. Sehinggakan hamba berdiri terasa lenguh, duduk pun terasa perit." jawab Penjual Mangga berat. "Lama hamba bermenung, akan tetapi puncanya masih hilang. Haih.... jika begini ceritanya, sampai cerah jua hamba kebingungan," tambahnya lagi. Pahlawan Diba seraya menjawab." Orang Kaya jangan diturutkan sangat permainan perasaan begini. Ikut hati mati, ikut rasa binasa."

Mereka diam berdua. Pahlawan Diba enggan bertanya lebih jauh kepada ketuanya yang sedang serabut perut. Dia tidak mahu kalau-kalau serabut perutnya yang ditarik keluar pula. Orang Kaya Penjual Mangga masih lagi mencari punca kepada keserabutan perutnya itu. Dari belakang mereka seorang lelaki berpakaian kemas menghampiri. "Maafkan hamba Orang Kaya budiman. Izinkan hamba mencelah," sapa lelaki yang bepakaian kemas itu. " Tukang masak di dapur ingin bertanyakan tentang menu hidangan tengah hari ini. Apa yang Orang Kaya mahu sebagai juadah?" Penjual Mangga menoleh lalu melemparkan satu renungan tajam, dalam menusuk kalbu lelaki berpakaian kemas itu. Lelaki berpakaian kemas tersebut tanpa disuruh, pantas melutut dan kepalanya tertunduk memandang lantai. Peluhnya menitik deras dari segala poros-poros peluh di badannya. "Baiklah ketua khadam. Khabarkan kepada tukang masak di dapur sana dia tidak perlu bersusah payah hari ini. Hari ini hamba teringin rasa makanan dari kedai," jawab Penjual Mangga. "Baik Yang Mulia Orang Kaya, akan hamba sampaikan pesananan Orang Kaya satu persatu kepada tukang masak," balas ketua khadam. Setiap patah perkataan yang dituturkan tadi memerlukan dia memerah setiap keringat yang ada.

"Oh ya, ketua khadam. Selepas kamu menyampaikan pesanan ke dapur, hamba mahu kamu ke kedai nasi kukus Daiman sana. Belikan hamba dua bungkus nasi kukus. Satu bungkus sambal lebih, satu bungkus lagi ikan kering lebih," arah Penjual Mangga sambil memandang kepada Pahlawan Diba yang kembali baring. Pendekar Diba mengangkat tanda besta dan mengangguk malas tanda setuju. Ketua khadam sudah tidak dapat bercakap, hanya mampu mengangguk sahaja walaupun kepalanya dipaksa tunduk memandang lantai. Usai memberikan arahan, Penjual Mangga kembali memandang ke hadapan dengan ekspressi wajah yang kosong. Pahlawan Diba tergelak kecik di tepinya. Ketua khadam telepas dari pasung magis lantas terjelepuk ke lantai.

"Hadduss, hujan-hujan beginilah baru ingin makanan kedai," bisik hati kecil watak kodi tersebut.



Di gua Petapa Kelisa, Pendekar Dugung dan Hamba Durjana mengatur kaki dan duduk bersila di hadapan Petapa Kelisa. "Aku tahu, mu datang berhajat. Hajat nak dapat keris keramat milik aku, tak?," Petapa Kelisa menanyakan soalan terus. "Jika begitu hajatnya, aku tanyakan apa tujuan kalau keris keramat aku jadi milik mu?" sambung Petapa Kelisa lagi. Pendekar Dugung memandang kemas ke muka Petapa Kelisa. Mata bertemu mata. "Bala hamba dengan Orang Kaya Penjual Mangga, pemilik kelewe lipat. Jika hamba mahu beradu dengan Penjual Mangga, hamba perlukan keris keramat milik tuk. Kerana kelewe pelipat hanya padan dengan keris kerama milik tuk" jawab Pendekar Dugung tegas. "Huhuhu.... jika aku betul, Penjual Mangga itu jenis gedebe. Lagi-lagi dia itu pendekar terhebat di Tanah Meseng ini. Dia boleh kelewe pelipat dari cikgu dia, Pendita Lipat, tak?" soal Petapa Kelisa. "Jolo semualah itu tuan Petapa. Tapi Pendita Lipat itu juga guru kepada hamba," Pendekar Dugung pantas menjawab. "Muahahahaha..... hok itu aku tahu, hok itu aku tahu," Petapa Kelisa ketawa. "Mari mu berdua, follow aku," tambahnya lagi.

Petapa Kelisa membawa mereka berdua ke ruang dapur gua tersebut. Petapa Kelisa membuka pintu sejuk jeni dua pintu kiri kanan. Perlahan lawan dia mengeluarkan sebotol jem nenas lantas meletakkannya di hadapan Pendekar Dugung dan Hambar Durjana. Mereka berdua pelik dan kaget merenung jem nenas itu. Petapa Kelisa menarik sebilah keris dari botol jem tersebut dan menyapu jem nenas ke atas roti. "Huhuhu, inilah keris keramat tu. Sejak aku sepi dari dunia pendekar, aku buat jadi pisau roti sahaja, keh keh keh," ujar Petapa Kelisa sambil meranggos roti jem nenas tadi. Dia mengolorkan keris tersebut kepada Pendekar Dugung. Diamati keris tersebut dengan serius. Dengan perasaan bercampur baur, dia pass keris itu kepada Hamba Durjana. Hamba Durjana pantas meleset jarinya kepada sedikit jem nenas yang terlekat pada keris keramat itu dan memasukkan jarinya ke dalam mulut.

"Hurmm.... jem homemade ni," katanya sambil tersenyum puas.

Iklan Berbayar